Salam alaykum.

Moga coretan pada kali ini tidak menjadi sesuatu yang sia-sia dan ada nilai yang baik di sisiNya.Moga dipermudahkan Allah tangan yang menaip,hati yang membaca untuk mendapat manfaat walau sekelumit cuma.

Segala puji bagi Allah,tidak lama selepas berkongsi status FB tentang kata-kata Prof Dr Asyraf Fayez (salah seorang professor di universiti kami) rupa-rupanya Allah telah menulis taqdir untuk saya mendengar mutiara kata beliau secara langsung.Beliau membuatkan kami berasa seolah-olah berada dalam majlis ilmu Sheikh Yusuf (hafizahullah) dan Sheikh Rohimuddin (hafizahullah) yang banyak mengajar ilmu 'kesufian' kepada para pelajar perubatan khususnya,walaupun beliau (Dr Asyraf) lebih dikenali sebagai doktor pakar dalam bidang sakit tuan.Jika para Azhari berbangga dengan ulama' Azhari (yang juga menjadi kebanggaan seluruh umat Islam) kami juga berbangga dengan individu-individu dalam jurusan perubatan yang dengan mengingati@ memandang wajah mereka sahaja mampu mengingatkan kita kepada Tuhan.Malam itu Dr Asyraf berkongsi tentang sirah,peristiwa di mana Saydatina 'Aisyah radiyAllah anha difitnah melakukan perbuatan yang tidak elok dengan salah seorang sahabat bernama Safwan.Walaupun sebenarnya watak utama yang jahat dalam peristiwa ini adalah golongan munafiq,Allah Ta'ala juga menempelak sebahagian golongan mukmin yang hanya BERDIAM DIRI ketika isteri Nabi SAW tercemar maruahnya dengan fitnah yang sangat kejam dan tertolak oleh hati yang benar-benar beriman.Mereka ditempelak kerana ada hati yang goyah dengan ujian tersebut,meragui kesucian isteri Nabi SAW.Mereka tidak lantang membela Saydatina 'Aisyah.Ketika ada pihak yang mendakwa dan ada pula yang menafi,pasti salah satu daripada mereka tidak bercakap benar.Maka sudah tentu bukan Saydatina 'Aisyah isteri Nabi SAW yang tidak bercakap benar itu.Peristiwa ini telah membuatkan Baginda SAW sendiri berduka cita sehinggalah Allah menyatakan perkara sebenar melalui wahyu lantas memadam segala api fitnah.

Demam pilihanraya umum kian terasa di tanah air kita.Melihatkan cara golongan tertentu bekerja untuk memenangkan calon masing-masing ada ketikanya membuatkan segelintir daripada kita mengambil pendekatan berkecuali daripada sekurang-kurangnya mengambil tahu tentang apa yang berlaku.Isu 'Amanat Haji Hadi' puluhan tahun yang lalu diungkit kembali, didakwa macam-macam oleh mereka secara tidak adil.Ia berlaku secara berat sebelah kerana individu yang didakwa sendiri tidak diberi peluang untuk membela diri.Sudahlah begitu,huraian mereka tidaklah begitu susah untuk disifatkan oleh golongan pertengahan sebagai pincang dan gopoh dalam memahami konteks sebenar yang dimaksudkan penuturnya (Tuan Guru Haji Hadi).Jika difikir dengan logik akal,sesuatu yang dituturkan pada puluhan tahun yang lampau (diri sendiri tidak lahir lagi ketika itu) pastilah berkait rapat dengan suasana semasa ketika itu.Kepada siapa ia ditujukan,bagaimana,bila,mengapa dan sebagainya perlulah diambil kira supaya isi ucapan dapat ditimbang dengan neraca keadilan.

Di sini bukan gelanggang untuk dikupas isi kandungan amanat tersebut kerana saya bukan ahli (yang layak) untuk berkata-kata.Saya kira ini adalah antara lambakan ujian yang dilalui oleh alFadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi sepanjang beliau mewaqafkan diri dalam jalan perjuangan Islam melalui Parti Islam SeMalaysia.Tersentuh dengan kata-kata Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

"Saya membaca kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS menarik balik apa yang didakwa sebagai 'Amanat Haji Hadi'.Saya kira ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS tidak lebih rendah dari ilmu yang dimiliki oleh para mufti.Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang..."

Sebelum ini juga Tok Guru Nik Aziz sudah beberapa kali memuji Presiden PAS.Antara yang saya ingat ialah kata Tok Guru, Presiden PAS jumpa Nabi SAW (dalam mimipi) 3 kali ,sedangkan dirinya baru sekali (perbandingan dua individu yang hebat).

Tuan Guru Haji Hadi pernah menziarahi kami di Mesir ini ketika cuti musim panas yang lepas.Ketika itu khabarnya beliau sepatutnya menjalani pembedahan mata kerana katarak namun ditangguhkannya untuk beberapa ketika.Beliau menggagahkan diri berjumpa dengan para pelajar di sini walaupun keadaan kesihatan yang terbatas.Beliau menjadi lebih bersemangat apabila tahu di hadapannya adalah generasi yang sedang dan akan menyambung rantai perjuangannya.Ketika itu pun ada hati yang tidak sihat memfitnah Tuan Guru memakan duit pelajar hanya kerana mengutip derma PRU.Moga Allah memberi hidayah dan mengampunkan mereka.

Ketika timbul suara-suara cadangan dan bangkangan diri beliau sebagai calon perdana menteri yang akan datang, dengan rendah diri beliau menyatakan kesudiannya untuk bekerja sebagai nelayan asalkan Islam dapat tertegak di bumi Malaysia.Diri beliau yang sangat tenang, tidak cepat melatah dalam melayani kerenah dan tohmahan masyarakat dalam kancah politik menjadikan beliau adalah antara pimpinan PAS yang saya dan ramai lagi kagumi.Saya berpendapat jarang sekali atau tidak pernah kenyataannya menimbulkan kontroversi dan kekeliruan khususnya berkaitan ketulenan fikrah PAS dalam membawa perjuangan Islam.(tidak dinafikan ada pimpinan PAS yang bersifat sebaliknya kerana PAS bukanlah parti yang terlepas daripada kecacatan).

Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda daripada Universiti Islam Madinah, peringkat Sarjana Siyasah (politik) Syar'iyyah Universiti Al-Azhar antara ulama' Malaysia yang terkenal di peringkat politik antarabangsa.Beberapa kali menjadi jawatankuasa pertubuhan antarabangsa (melalui pembacaan diri sendiri) dan terkenal sebagai ulama' tanah air yang komited dari segi keilmuannya.

Berdasarkan prestasi dan kecemerlangan peribadi Tuan Guru Haji Hadi selama ini, sebaik-baiknya kita bersangka baik dengan beliau sebagai reaksi pertama. Takkanlah individu begini tergamak mengkafirkan saudara seIslamnya selagi mereka masih mengucap kalimah syahadah.Takkanlah hati mulia beliau sanggup melakukan perkara yang difikirkan akan memecah belahkan umat Islam khususnya sesama Melayu seperti yang dirisaukan oleh Presiden ISMA dan pengikut setianya.Takkanlah Tuan Guru Haji Hadi mahu memenangkan partinya tanpa meletakkan kepentingan Islam sebagai hadaf yang utama.

Nampaknya seperti Tuan Guru tidak perlu pun membela diri walaupun tidak diberi ruang selama 1 jam oleh siaran televisyen di Malaysia kerana penyokong beliau terlalu ramai yang membelanya melalui media alternatif.Moga kita juga menjadi antara golongan mereka.Kejadian sebegini baiknya ialah semakin menampakkan siapa yang benar-benar sabar dan ikhlas dalam perjuangan ini,siapa yang tidak tinggal rutinnya menghentam parti secara berat sebelah walaupun mendakwa mereka adalah NGO.Mohon maaf tentunya teguran ini akan menyakitkan mereka yang berkenaan.Mungkin juga saya salah,dan insyaAllah sudi diperbetulkan.Anggaplah ia sebagai tanda mengambil berat perihal sesama Muslim.Kata orang caring is loving.

Buat akhirnya, janganlah kita menjadi seperti golongan yang ditegur oleh Allah dalam peristiwa fitnah ke atas isteri Nabi SAW.Ketika saudara seIslam mereka difitnah,mereka hanya membatu mendiamkan diri. Padahal  mereka tahu saudara mereka itu adalah seorang yang mulia keperibadiannya.Lebih malang lagi mereka pula yang mengelirukan orang lain untuk percaya akan kebatilan tersebut. Kata Prof Asyraf Fayez pada malam yang sama, tanda hati kita baik ialah apabila kita berbaik sangka kepada orang lain,(good suspicion) pada waktu pertama berjumpa sekalipun kita tidak mengenalinya (apatah pula kebaikannya adalah diketahui umum) Itu tanda hati kita bersih kerana hanya hati yang bersih mampu mengenal kebaikan dan kebenaran.

Moga kita menjadi golongan yang cinta dan dekat dengan para ulama'.Keyboard off.Allahu a'lam..WALHAMDULILLAH