Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.
Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza
tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih
pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak
kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi
tanpa henti.
Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan
tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti
orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.
Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu
sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu
tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.
Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat
menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki
dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu
tunggal kesayangannya itu.
Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan
masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.
Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat
gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi
luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa
kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat
perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.
Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam
namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu
itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.
Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan,
biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka,
perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.
ImageSebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba
perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di
depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa
mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan
perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.
Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai
imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang
yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau
terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri
kepada penduduk di sana."
Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun
keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke
Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula
bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah
apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.
"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku
ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu.
Imam tadi masih keberatan.Masing- masing jemaah berkata-kata dan
berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan
lembu tuanya itu.
Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun
tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi
seketika suasana.
Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak
mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000
riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.
Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu
kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu
namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.
Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh
lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi
sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan
ke Gaza?"
Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan
anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu
pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang
mereka untuk dikumpulkan.
Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan
untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh,
apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.
Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin
itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00) !
Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan
penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis,
setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat
membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada
perempuan tua itu.
"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah
500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.
"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan
kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami
hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan
tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.
Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu
untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya
tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang
banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta'
yang ada. Subhanallah.
Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa
mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang
daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam
yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba
payah dan serba kekurangan.- azm
(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Timbalan Mursyidul Am
PAS Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang
dipaparkan di sebuah majalah Arab)
p/s;sebagai peringatan da ikhtibar buat kita...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan