Allah Rabbu Jalla Jalaluh telah merakamkan dalam At-Tanzil, yang bermaksud :
“Allah SWT meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan
orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan itu beberapa darjat.”
- Al-Mujadalah ayat 11 -
Dalam ayat ini, Allah SWT menyebutkan dua kemuliaan yang dianugerahkan kepada hamba-hambaNya yang terpilih iaitu iman dan ilmu. Seterusnya juga, disebutkan kelebihan bagi manusia yang dianugerahkan dengan dua kemuliaan tersebut. Barangsiapa yang diberikan kedua-dua nikmat tersebut, mereka itulah orang-orang yang telah diberikan nikmat yang banyak. Tiada kemuliaan yang lebih bernilai, melainkan kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT. Mudah-mudahan kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana nikmat yang diberikan.
Namun persoalannya, apakah bukti kesyukuran kita terhadap anugerah ilmu tersebut? Imtihan yang bakal menjelang sedikit sebanyak menguji tahap penguasaan dan kesungguhan kita selaku ‘tolibul ilmi’. Janganlah kita jadikan ilmu yang dipelajari dan dihafaz hanya untuk diluahkan dalam imtihan. Sebagaimana yang digambarkan oleh seorang pemikir Islam, beliau menyebut:“Penuntut-penuntut ilmu di akhir zaman, mereka menghafaz maklumat-maklumat sedikit masa sebelum menjelangnya imtihan, kemudian maklumat-maklumat itu dimuntahkan di dalam dewan peperiksaan.”
Mohonlah nusrah dari Allah SWT agar kita dipermudahkan dalam menghadapinya. Dialah sebaik-baik tempat pengaduan. Dalam Al-Quran, diceritakan bahawa nabi Allah Musa juga memohon kepada Allah SWT agar dilapangkan hatinya, dimudahkan urusannya, dilepaskan kekakuan lidahnya dan dikurniakan pembantu untuk baginda menghadapi ujian dalam menyampaikan dakwah kepada Firaun.
Jadikan ulangkaji kita di jaufullail sebagai salah satu ruang dan peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Al-Khaliq, lantaran kemuliaan seseorang itu terletak pada berdirinya ia pada waktu malam. Sabda Rasulullah SAW:“Kemuliaan seseorang itu, pada ketika berdirinya ia pada waktu malam (untuk bersolat) dan kehormatan seseorang itu, bahawasanya ia tidak berhajat kepada manusia.” Pepatah Arab juga ada menyebutkan: “Sesiapa yang berkehendakkan ketinggian (kedudukan), maka hendaklah ia berjaga pada waktu malam.”
Semoga risalah yang ringkas ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kita untuk terus menggandakan usaha dengan segenap qudrah pinjaman Allah. Seterusnya, bertawakkallah kepada Allah SWT. Yakinlah, Allah tidak akan mempersiakan permintaan hamba-hambaNya. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan orang-orang yang berjaya bukan hanya di dunia, bahkan lebih-lebih lagi di akhirat. Itulah kejayaan hakiki yang sewajarnya kita dambakan. Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan