Alkisah sebuah kapal tersandar…
fb: Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)
Alkisah sebuah kapal tersandar…
Kapal yang dinaiki Khairy dan Nasrudin rosak akibat ribut dan mereka
hanya mampu berenang ke sebuah pulau kecil yang bagaikan gurun.
Dua sahabat karib itu tidak tahu apa yang boleh dilakukan selain berdoa kepada Allah swt.
Untuk melihat doa siapa yang lebih kuat dan dimakbulkan, Khairy
mencadangkan agar mereka membuat sempadan di pulau tersebut, dan mereka
tinggal berasingan satu di Timur dan di Barat.
Perkara pertama
yang mereka doakan ialah makanan. Pagi keesokan, Khairy terjumpa sepohon
pokok buah di dalam kawasan sempadan pulaunya. Buah itu boleh dimakan.
Kawasan Nasrudin tiada ada apa-apa penemuan, tapi Nasrudin hanya senyum.
Setelah seminggu, Khairy mendoakan agar dapat mendapat pakaian baru
untuk ditukar. Besok harinya, ada benda terapung dibawa ombak menghala
ke kawasan pulaunya. Ia adalah peti dengan pakaian baru. Di sebelah
Nasrudin, masih tiada apa-apa, namun beliau senyum melihat Khairy
mendapat baju baru.
Melihat doanya dimakbulkan, Khairy mula
berdoa untuk lebih banyak perkara… termasuk rumah, pakaian dan lebih
makanan – apa yang diminta semua diperolehi. Nasrudin masih tidak
mempunyai apa-apa selain terpaksa menangkap ikan dan makanan laut setiap
hari untuk meneruskan kehidupan.
Akhirnya Khairy mendoakan
agar mendapat sebuah kapal untuk meninggalkan pulau tersebut. Besok
paginya, betul terdapat satu kapal yang tersandar di tepi pantai
kawasannya. Khairy terus menaiki kapal tersebut dan membuat keputusan
untuk meninggalkan sahabat karibnya Nasrudin seorang diri di pulau.
Khairy merasakan Nasrudin tidak layak menerima segala kurniaan Allah
padanya kerana doa Nasrudin sehingga kini tiada satupun yang
dimakbulkan. Akhirnya Khairy meninggalkan Nasrudin dalam keadaan
diam-diam ketika Nasrudin tidur petang.
Di tengah lautan, Khairy tertidur dan termimpi…. Ada suara dari langit…
“Mengapa kamu sanggup meninggalkan kawan baik mu seorang diri di pulau tersebut?”
Khairy menjawab, “Semua doa dia tak dimakbulkan, dia tak layak menerima apa-apa.”
“Kamu tersilap!” kata suara dari langit tersebut. “Nasrudin hanya ada
satu doa, yang dimakbulkan Allah. Jika tak ada, kamu takkan dapat apa
yang kamu dapat.”
“Apa dia? Apa yang didoakan Nasrudin sehingga
saya perlu terhutang padanya? Semua ini hasil doa saya sendiri yang
kuat,” kata Khairy dengan angkuh.
“Nasrudin mendoakan agar
segala doa Khairy dimakbulkan…” setelah habis kata-kata tersebut Khairy
dikejut bangun oleh satu pancaran petir yang kuat.
Khairy menyesal dan terus balik mencari Nasrudin di pulau tersebut untuk melihat apakah benar Nasrudin berdoa untuknya…
Setibanya di pulau tersebut, Nasrudin gembira melihat Khairy.
“Alhamdulilah. Allah Maha Esa, ana bimbang anta hilang, nasib baik
Allah mendengar doa ana untuk membawa anta kembali dengan selamat ke
pangkuanku dan memberikan satu kapal kepada kita untuk meninggalkan
pulau ini bersama-sama,” kata Nasrudin.
Khairy tidak mampu
berkata apa-apa mendengar kata-kata Nasrudin seperti apa yang
dimimpikannya. Beliau hanya mampu memeluk Nasrudin dan memohon
keampunannya atas segala kezaliman beliau terhadapnya yang tidak
disedari sahabatnya.
Pengajaran: Jangan ingat perkara baik
yang berlaku adalah atas doa sendiri sahaja tapi ia adalah hasil
daripada doa-doa jamaah, rakan kita yang turut mendoakan kebaikan pada
kita. Hargailah kawan dan jangan tinggalkan mana-mana sahabat dan orang
terdekat di belakang.
Senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan