Jumaat, 17 Mei 2013

Alkisah seorang pengutip sampah…

Seorang pengutip sampah di kampung Hadali bernama Nazuti gigih membuat kerjanya. Seluruh kampung Hadali dijaganya dengan bersih dan rapi.

Susah nak mencari sampah di mana-mana – di sungai mahupun longkang semuanya bersih. Disebabkan usaha gigih Nazuti dan pasukannya, nama kampung Hadali menjadi harum dan diiktiraf sebagai kawasan ke-7 terbersih di seluruh Tanah Islami.

Nazuti rasa gembira kerana beliau dan pasukannya menjadi kampung Hadali sebagai satu kampung yang selesa ditinggal. Melihat penduduk selesa menjadi kesyukuran terbesar Nazuti.

Walaupun dengan pasukan yang hanya kurang daripada 10 orang, kejayaan membawa Hadali sebagai kampung ke 7 terbersih di Tanah Islami amat mengkagumkan.

Nazuti tidak pernah membesar-besarkan kejayaan beliau dan pasukannya. Bahkan warga kampung Hadali turut tidak menyedari sumbangan beliau dan pasukan. Nazuti dan pasukan tidak pernah mendapat satu pujian, namun mereka tetap gembira kerana telah berjaya kerana menganggap telah melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah swt.

Satu hari, Nazuti dan pasukannya terlupa mengutip beberapa tempurung kelapa di dalam satu semak. Akibat hujan lebat, tempurung kelapa dipenuhi air.

Seorang penduduk kampung menemui tempurung kelapa tersebut dan mendapati sudah dipenuhi jentik-jentik.

“Teruknya pasukan menjaga kebersihan ini. Kerja tak bersemangat, malas – sekarang tengok, tempurung kelapa ini dah penuh dengan jentik-jentik. Malulah kampung Hadali!” penduduk kampung itu memberitahu semua orang.

Mendengar aduan tersebut, Nazuti dan pasukan segera mencari tempurung kelapa tersebut dan membunuh semua jentik-jentik.

“Pasukan menjadi kebersihan ini dah hilang arah. Dah lupa tujuan mereka. Nazuti kena letak jawatan. Cari orang lain yang memahami pentingnya kebersihan di kampung Hadali. Orang yang tak faham acuan kampung Hadali dan malukan kita perlu dibuang,” desak penduduk kampung itu lagi.

Nazuti sedih dituduh sedemikian. Hasil usaha pasukannya selama ini bukan sahaja tidak menerima pujian malah kini dipersalahkan kerana satu perkara yang kecil. Pasukannya bekerja tanpa staf yang cukup dan memberikan segalanya – tapi siapa yang tahu? Hanya Allah yang tahu.

Nazuti tidak mahu berlawan. Sebelum beliau membuka mulut ingin memohon maaf dan meletak jawatan… tetiba Ustaz Man bersuara.

“Papan putih bersih kamu semua tak nampak. Yang nampak ialah titik hitam kecil di atas papan putih dan merasakan itulah kekotoran yang mencemarkan segalanya. Orang yang terlupa padam titik hitam dipersalahkan, orang yang membuat titik hitam itu pula dilepaskan.

Nazuti dan pasukannya ikhlas bekerja dengan gaji kecil sehingga menjadikan kampung Hadali menjadi tempat ke 8 terbersih di Tanah Islami, pernah tak kamu semua berterima kasih dan memberikan pujian padanya. Usaha mereka untuk sehari dua, dah bertahun lamanya.

Sekarang jumpa tempurung kelapa yang ada jentik-jentik riuh terus nak potong Nazuti dan pasukannya. Silap Nazuti dan pasukannya ialah terlupa nak kutip sampah tempurung itu. Tapi ada antara kita yang membuang tempurung itu merata kerana merasakan ada orang yang akan datang mengutipnya itu kita tak nak persalahkan? Adil ke?

Dan kamu yang menjumpai tempurung kelapa itu – mengapa tak mencari salah pada orang yang membuang ke situ? Tapi mencari salah pada orang yang terlupa membersihkannya? Itu logik apa? Itu logik mana?

Insaflah kalian. Jika anda tidak mengerti memberi pujian sewaktu orang berbuat baik berkali-kali, anda hilang kelayakan mengkritik pada orang baik itu membuat kesilapan kecil,” kata Ustaz Man.

Mendengar kata-kata Ustaz Man, seluruh kampung terdiam. Penduduk yang mengadu itu terkedu dan akhirnya meminta maaf pada Nazuti dan pasukannya. Selepas itu, seluruh kampung membantu Nazuti dan pasukannya untuk mengekalkan kebersihan kampung Hadali dan tidak lagi sama tuduh-menuduh bila terlihat sampai di tepi jalan, tapi terus membersihkannya sendiri.

Dapat maksud tersirat?

Jangan kerana ada perkara sedikit yang kita tidak setuju, kita terus menjatuhkan hukuman pada orang tertentu, walhal kita lupa memujinya bertahun lamanya waktu dia menyumbang baiknya kepada dunia ciptaan Allah ini.

Bila memandang ke langit, jangan terlupa kaki yang masih memijak bumi. Begitu jugalah apabila kita melihat kesilapan orang lain, yang terlupa orang tersebut juga pernah berbuat baik.


Senyum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan